Berita Terkini

10 Berita Forex Penting Tumpuan Pasaran Minggu Ini (19-23 Ogos 2019)

Berikut merupakan sebahagian data-data penting yang bakal menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.

Bacaan Akhir Inflasi Zon Eropah (Isnin 5.00 Petang): Bacaan akhir indeks harga pengguna bagi bulan Julai zon Eropah dijangka kekal di paras 1.1% seperti sebelumnya. Data ini merupakan petunjuk penting bagi kadar inflasi yang menjadi sasaran bank pusat.

Minit Mesyuarat Bank Pusat Australia (Selasa 9.30 Pagi): Reserve Bank of Australia (RBA) akan mengeluarkan minit mesyuarat untuk Julai dan pelabur akan meneliti kenyataan yang diunjurkan bank pusat bagi mendapatkan petunjuk mesyuarat polisi yang akan datang.

Data Inflasi Kanada (Rabu 8.30 Malam): Indeks harga pengguna Kanada mencatatkan bacaan yang baik beberapa bulan sebelum ini sebelum merosot pada bacaan Jun. Bacaan untuk Julai dijangkakan akan kembali mencatat peningkatan yang positif.

Minit Mesyuarat FOMC (Khamis 2.00 Pagi): Pelabur akan memberi perhatian terhadap minit mesyuarat FOMC selepas Fed mengumumkan penurunan kadar faedah terbaru. Keputusan bank pusat didorong oleh kebimbangan terhadap ketegangan perang dagang dan inflasi yang lemah.

Data PMI zon Eropah (Khamis 4.00 Petang): Dimulakan dengan bacaan data di Perancis, kemudian di Jerman dan disusuli bacaan keseluruhan bagi PMI zon Eropah. Ekonomi-ekonomi zon Eropah bergerak perlahan dan menunjukkan fasa penguncupan. Risiko ke arah kegawatan juga semakin meningkat.

Minit Mesyuarat Bank Pusat Eropah (Khamis 7.30 Petang): European Central Bank (ECB) dijangka akan mengumumkan pakej rangsangan pada mesyuarat September ini, termasuk pemotongan kadar faedah dan berkemungkinan juga memulakan semula program pembelian bon.

Data PMI Perkilangan Amerika Syarikat (Khamis 9.45 Malam): Bacaan data bagi PMI perkilangan di Amerika Syarikat dijangka akan mencatatkan sedikit peningkatan didorong oleh kenaikan pada data tinjauan Philadelphia dan Empire State.

Data Jualan Runcit New Zealand (Jumaat 6.45 Pagi): Bacaan kadar jualan runcit untuk suku kedua 2019 di New Zealand dijangka merosot selepas penurunan disaksikan pada suku pertama. Data ini turut menjadi petunjuk terhadap perbelanjaan pengguna dan juga memberi impak terhadap pasaran.

Data Jualan Runcit Kanada (Jumaat 8.30 Malam): Kadar jualan runcit untuk bulan Jun di Kanada dijangka akan terus mencatatkan penurunan pada angka bacaan ekoran kemerosotan pada sektor pekerjaan sekaligus bakal menjejaskan perbelanjaan pengguna.

Ucapan Jerome Powell (Jumaat 10.00 Malam): Pasaran akan memberi tumpuan terhadap ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell pada acara tahunan simposium Jackson Hole di Wyongmin. Persoalan utama adalah, adakah Fed akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat September?