Berita Terkini

Disney Jual 80% Pegangan Di Dalam YES Network

Disney mengumumkan telah menjual pegangannya di dalam YES Network kepada sekumpulan pelabur termasuklah Amazon. Turut berada di dalam kumpulan itu termasuklah Yankees dan Sinclair Broadcast Group yang memperoleh 80% kepentingan di dalam YES Network yang sebelum ini dipegang oleh Disney dalam perjanjian yang bernilai $3.47 bilion.

Disney bersetuju untuk menjual 22 rangkaian sukan serantau (RSN) yang dimiliki oleh 21st Century Fox sebagai syarat pembelian syarikat Disney. YES Network, yang menyiarkan perlawanan Yankees serta sukan tempatan dan rancangan khas, merupakan sebahagian daripada RSN.

Penjualan ini telah diarahkan oleh Jabatan Kehakiman kerana berpendapat jika Disney masih memiliki RSN, ia akan membawa kepada harga yang lebih tinggi untuk saluran sukan itu kerana kekurangan persaingan antara Disney dan Fox.

Kenyataan media oleh kumpulan pelabur mengatakan Yankees, Sinclair dan Amazon akan membentuk perkongsian strategik baru. Untuk Amazon, syarikat itu tidak mempunyai peranan yang khusus di dalam pembentukan itu berbeza dengan dua rakan kongsinya.

Peranan Yankees ialah menyumbang kecemerlangan dalam pembangunan, penghasilan dan pemasaran kandungan sukan yang menarik para peminat di seluruh dunia. Bagi Sinclair pula, syarikat itu akan bekerjasama dengan pengurusan pasukan YES untuk menguruskan hubungan pengedaran secara tradisional dan maya.

Penjualan ini juga bermaksud bahawa Yankees sekali lagi menjadi pemilik majoriti rangkaian yang menyiarkan permainannya itu selepas Rupert Murdoch membelinya dari pasukan itu pada tahun 2014.