Berita Terkini

Ekonomi Amerika Syarikat Menuju Ke Arah Kemelesetan?

Berhubung perkembangan rundingan dagang antara China bersama Amerika Syarikat (AS), dilaporkan bahawa China tidak membuat sebarang konsesi perdagangan selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan penangguhan tarif 10% ke atas anggaran $150 bilion barangan import China.

Isu tersebut juga menampilkan Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross yang menyatakan masih terlalu awal untuk melihat hala tuju rundingan dagang bersama China.

Trump pada Selasa telah menangguhkan tarikh 1 September untuk pelaksanaan tarif tambahan ke atas pelbagai barangan import China termasuk produk teknologi, pakaian dan kasut, dilanjutkan kepada 15 Disember untuk senarai barangan tertentu.

Dalam usaha untuk memenangi sokongan rakyatnya yang beragama Kristian, pentadbiran Trump telah mengecualikan pengenaan tarif terhadap kitab Bible yang dicetak di China secara kekal.

Kitab Bible tersenarai di antara 25 kategori produk yang dikecualikan pengenaan tarif 10% pada 1 September dan 15 Disember nanti. Antara produk lain dalam senarai pengecualian tarif termasuk kerusi keselamatan kanak-kanak, kren yang digunakan di pelabuhan dan kerja pembinaan, serta beberapa jenis ikan.

Namun masih terdapat barangan keagamaan peribadi yang diimport dari China dikenakan tarif. Sekitar 60% barangan keagamaan daripada China diimport dari China yang dianggarkan bernilai $11 juta dolar pada tahun lalu, menurut Reuters.

Pihak Amerika dan China turut mengumumkan perbincangan perdagangan akan diperbaharui semula. Berita tersebut memberi sedikit kelegaan bagi peruncit serta kumpulan sektor teknologi ekoran kemelut yang melanda dua ekonomi gergasi dunia tersebut memasuki tahun kedua.

Trump juga menyatakan pada Selasa beliau menangguhkan tarif untuk kepentingan terhadap kadar jualan pada musim perayaan Krismas nanti.

Tindakan penangguhan tarif Trump adalah dilihat memenuhi kegusaran terhadap risiko kemelesetan di pasaran Amerika Syarikat yang menyebabkan kejatuhan terbesar harian sejak Oktober.

Ditambah pula dengan penyongsangan keluk hasil perbendaharaan AS untuk pertama kali sejak 2007 serta pengeluaran perindustrian di China yang tumbuh pada kadar terendah 17 tahun pada Julai, kebarangkalian ke arah kemelesetan semakin meningkat.