Berita Terkini

Emas Dan Minyak Mentah Masing-Masing Catat Kenaikan

Harga minyak mentah menunjukkan kenaikan pada Rabu dengan peningkatan 1% minyak mentah Amerika Syarikat selepas laporan inventori menunjukkan bekalan minyak AS turun lebih rendah berbanding jangkaan, ekoran kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi disebabkan isu perang dagang AS-China.

Menurut laporan Institut Petroleum Amerika (API), bekalan minyak mentah AS telah mengalami kejatuhan ketara pada minggu lalu ekoran penurunan pada kadar import, menurun 11.1 juta tong, berbanding jangkaan penurunan 2 juta tong.

Laporan mingguan oleh kerajaan Amerika Syarikat akan diterbitkan pada malam ini dan jika angka bacaan rasmi mengesahkan data keluaran API, ia akan merekodkan penurunan mingguan terbesar dalam tempoh 9 minggu.

Ketidaktentuan status rundingan dagang antara Amerika dan China masih menjadi faktor mendorong ketidakstabilan pasaran minyak mentah.

Faktor tersebut juga mempengaruhi nilai emas yang menjadi aset pelaburan selamat dalam suasana pasaran yang berisiko.

Dagangan emas sedikit menurun pada Rabu selepas kenaikan 1% pada sesi sebelumnya juga didorong oleh risiko kemelesetan, namun masih berlegar di sekitar paras ketinggian 6 tahun yang dicapai awal minggu ini.

Selain itu juga, penyongsangan hasil bon AS dilaporkan mencecah paras yang tidak pernah dilihat sejak 2007.

Pelabur melihat ekonomi tidak berkembang dengan baik dan kemelesetan bakal berlaku. Dengan itu, Federal Reserve dijangka akan menurunkan kadar faedah lebih rendah dan faktor-faktor ini akan menyokong pengukuhan emas dalam pasaran.