Berita Terkini

Hasil Kolaborasi Dengan Starbucks, Nestle Lancar Starbucks At Home Di Malaysia Dan Singapura

Hasil daripada kerjasama dengan Starbucks, Nestle (M) Bhd telah melancarkan Starbucks at Home yang mengandungi pelbagai jenis produk kopi premium termasuk kapsul Starbucks khas buat pengguna di Malaysia dan Singapura.

Pelancaran ini merupakan produk pertama diperkenalkan sejak jalinan kerjasama diwujudkan oleh kedua-dua syarikat tersebut pada Ogos 2018. Kolaborasi dua syarikat tersebut membawa kepada gandingan tiga jenama terkemuka kopi Nescafe, Nespresso dan Starbucks.

Starbucks at Home terdiri daripada 11 produk termasuk biji kopi disertakan kopi panggang dan kisar yang dibungkus di samping kapsul Starbucks yang dibangunkan menggunakan teknologi kopi dan sistem hak milik Nescafe Dolce Gusto.

Pengguna boleh menikmati kopi Starbucks di rumah melalui rangkaian kopi Starbucks at Home. Bagi mendapatkan kesemua produk ini, pengguna boleh mendapatkannya secara atas talian di Lazada (Malaysia) dan di laman Nescafe Dolce Gusto.

Sementara itu, Nestle mendahului kedudukan di bursa tempatan hari ini dengan peningkatan 80 sen kepada RM149.10 setakat sesi dagangan tengah hari. Bagaimanapun, menurut laporan kepada Bursa Malaysia, keuntungan bersih Nestle susut 6% pada suku kedua 2019.

Keuntungan bersih dicatatkan menyusut kepada RM156.89 juta daripada RM166.16 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelum dipengaruhi peningkatan kos operasi berikutan ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang asing dan harga komoditi yang tinggi.

Gandingan Nestle (M) Bhd dan Starbucks melalui Starbucks at Home diharapkan membuahkan hasil bagi membantu pertumbuhan syarikat tersebut.