Berita Terkini

Ini Sentimen Pasaran Menjelang Sesi Eropah Yang Anda Perlu Tahu


Sentimen pasaran masih bercampur-campur dengan perkembangan pasif pada rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China membuatkan pelabur lebih berhati-hati dalam sebarang keputusan.

Presiden Amerika Syarikat mengumumkan penangguhan tarif ke atas sebahagian barangan import China kepada tarikh 15 Disember. Berhubung perkara tersebut, dilaporkan tiada konsesi perdagangan dari pihak China ke atas pengumuman penangguhan tarif tersebut.

Niaga hadapan saham Amerika Syarikat mencatatkan sedikit pemulihan namun hasil perbendaharaan memberikan kebimbangan. Hasil pulangan 30 tahun pula telah mencecah paras lebih rendah dari 2% buat pertama kali, menguatkan lagi kegelisahan ekonomi menuju ke arah kemelesetan.

Di samping itu juga, hasil pulangan 10 tahun jatuh lebih rendah berbanding hasil pulangan 2 tahun, menyaksikan penyongsangan keluk hasil pulangan buat pertama kali sejak 2007.

Bagi dagangan komoditi, harga emas kembali mencatatkan kenaikan menuju ke paras ketinggian terbaru dalam tempoh lebih 6 tahun selepas sedikit menurun pada Rabu ekoran pengumuman tarif Trump. Sementara harga minyak mentah pula mengalami kejatuhan semalam ekoran perkembangan perang dagang AS-China kurang memberangsangkan serta bacaan ekonomi China yang merosot.