Berita Terkini

Keputusan Sekatan Terhadap Huawei Masih Menjadi Tanda Tanya

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan bahawa beliau sudah tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dagang dengan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei Technologies. Beliau beranggapan syarikat itu memberi ancaman kepada keselamatan negara mereka.

Hal ini dilihat tidak selari dengan ura-ura bahawa kerajaan AS bersetuju untuk memanjangkan tempoh lesen perniagaan selama 3 bulan kepada syarikat gergasi China itu. Trump dalam pada itu dijangka akan memberi kata putus mengenai isu tersebut selewat-lewatnya hari ini.

Jabatan Perdagangan AS sebelum ini telah memberi sekatan kepada Huawei kerana syarikat itu dikatakan menghasilkan produk yang boleh mengintip pihak kerajaan serta menganggu rangkaian komunikasi di negara itu. Bagaimanapun pihak Huawei telah menafikan tuduhan tersebut.

Sekatan yang dilakukan oleh kerajaan AS itu menjadi titik tolak kepada perang dagangan dengan pihak China, dimana telah menjadi isu utama di dalam pasaran.

Sementara itu,wakil perunding dari kedua belah pihak telah bersetuju untuk bertemu pada bulan hadapan bagi membincangkan isu ini. Trump merasakan perbincangan yang berlaku sebelum ini berjalan lancar.

Syarikat berasaskan teknologi seperti Intel, Broadcom dan Qualcomm antara yang terjejas akibat dari sekatan itu. Syarikat yang membekalkan alatan untuk telefon pintar dan beberapa peranti lain itu dilaporkan terjejas dari sudut kewangan sekaligus memberi impak negatif kepada harga saham mereka.