Berita Terkini

Kontradiksi Kenyataan Kementerian Luar China Dan Donald Trump Bakal Undang Risiko Pasaran

Dalam keadaan pasaran yang semakin bergerak tenang ekoran risiko terhadap perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin reda, kebimbangan para pelabur bakal dibayangi oleh isu terbaru ini.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini telah menyampaikan mesej yang positif berhubung persetujuan bersama China untuk meneruskan kembali rundingan setelah China menghubungi wakil dagangan AS menyatakan perkara tersebut.

Namun terkini, Kementerian Luar China pula mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangkan berkaitan perkembangan perang dagang apabila memaklumkan tidak menerima sebarang laporan berhubung panggilan telefon antara Amerika dan China untuk membincangkan tentang rundingan.

Tambahan lagi, Kementerian Luar China hanya menyatakan harapan Amerika Syarikat untuk menghentikan tindakan yang salah dan kembali mewujudkan ruang untuk rundingan semula.

Kenyataan tersebut sama sekali berkontradiksi dengan kenyataan optimis Presiden Donald Trump yang menyatakan China yang ingin kembali ke meja rundingan.

Dengan itu, sentimen pasaran dijangka kembali berisiko dengan keraguan terhadap perdamaian AS-China untuk meneruskan rundingan dagang bakal menambahkan kegelisahan pelabur dalam pasaran semula.

Tiga senario menjadi persoalan iaitu sama ada rundingan tahap tinggi bakal diteruskan semula, China yang terdesak untuk mendapatkan perjanjian ataupun Trump yang sengaja ingin meredakan kegelisahan dalam pasaran.

Sentimen pasaran masih lagi dilihat tenang buat ketika ini namun kejatuhan pada hasil perbendaharaan AS menunjukkan tanda-tanda yang akan menimbulkan kebimbangan terhadap pasaran. Pelabur akan terus memantau perkembangan terbaru bagi rundingan dagang tersebut.