Berita Terkini

Kontrak Bernilai $10 Bilion, Oracle Kemukakan Rayuan

Syarikat berasaskan teknologi perisian, Oracle membuat rayuan mahkamah ke atas kontrak daripada Pentagon yang dianggarkan bernilai lebih $10 bilion. Oracle sebelum ini telah dikeluarkan dari senarai akhir syarikat yang bersaing merebut kontrak itu.

Kontrak yang diberi nama Joint Enterprise Defense Infrastructure (JEDI) merupakan kontrak eksklusif berkaitan teknologi komputer menjadi rebutan buat syarikat gergasi teknologi AS termasuklah Oracle, Microsoft, Amazon dan IBM.

Syarikat yang berpengkalan di Redwood City itu berkata wujud konflik kepentingan semasa proses kelayakan bidaan sedang dirangka kerana tiga orang pekerja yang terlibat di dalam proses itu bekerja untuk Amazon. Amazon dan Microsoft dilihat menjadi pilihan utama untuk memenangi kontrak itu.

Disember lalu, Oracle telah menyaman Jabatan Pertahanan kerana mendapati berlakunya ketidakadilan di dalam proses pemilihan yang dilihat lebih berpihak kepada Amazon. Walaubagaimanapun, keputusan Mahkamah Tuntutan Persekutuan AS pada Julai berpihak kepada Jabatan Pertahanan kerana mendapati syarikat itu sebenarnya gagal memenuhi kelayakan yang ditetapkan di dalam kontrak.

Pada masa yang sama, mahkamah mengakui bahawa keputusan untuk menggunakan hanya satu vendor untuk JEDI merupakan suatu proses yang kurang lengkap.

Buat masa ini, hanya Amazon dan Microsoft sahaja syarikat yang masih kekal merebut kontrak JEDI, namun keputusan mengenai syarikat manakah yang bakal mendapat kontrak itu terpaksa ditangguhkan sejurus selepas Presiden AS Donald Trump mempersoalkan mengenai proses pemilihan itu.

Saham Oracle mengalami sedikit kenaikan selepas mengalami penurunan sejak minggu lalu. Harga saham Oracle ditutup pada nilai $52.13, naik $0.55 atau 1.07%.