Berita Terkini

Penyusutan Yuan, Apakah Kesannya Kepada Ringgit?

Ringgit kekal meneruskan aliran menurunnya berbanding dolar AS (MYR-USD) untuk dibuka rendah pada 4.2180/2210 berikutan pengukuhan dolar AS manakala Yuan dibuka hari ini pada paras 7.1495 berbanding dolar AS (RMB-USD) selepas Public Bank of China (PBOC) menetapkan midpoint yuan kepada 7.0879 berbanding dolar AS pada Khamis.

Renminbi atau Yuan meneruskan penyusutan berbanding dolar AS sehingga ke paras terburuk sejak reformasi mata wang China pada tahun 1994 kesan pertikaian dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan ekonomi. Bulan ini sahaja, yuan telah kerugian lebih 3.7% berbanding dolar AS, menurut Reuters.

Kemerosotan mata wang China membawa impak besar kepada mata wang negara ekonomi baru muncul, termasuk Malaysia yang banyak bergantung kepada eksport. Perihal ini disebabkan terdapat perkaitan yang kuat antara kedua-dua mata wang.

Mengikut sejarah trend pergerakan MYR-USD dan RMB-USD dari tahun 2013 hingga separuh pertama 2018, MYR-USD cenderung untuk bergerak seiring dengan RMB-USD serta mempunyai kolerasi yang tinggi iaitu 0.87 dengan kadar pertukaran RMB-USD.

Ini bermakna, ringgit mempunyai hubungan yang positif dengan yuan. Jika RMB-USD menyusut, maka MYR-USD juga turut menyusut dan sebaliknya RMB-USD meningkat, maka MYR-USD juga meningkat kecuali terdapat faktor ekonomi lain yang kuat boleh mempengaruhi nilai ringgit dengan mengatasi hubungannya dengan yuan.

Bagaimanapun, faktor ekonomi misalnya kenaikan harga komoditi minyak sawit mentah dan lebihan dagangan negara yang kini mencecah RM10.26 bilion pada Jun 2019 gagal untuk melonjakkan nilai ringgit disebabkan pengaruh kemerosotan mata wang China.

Ringgit tidak dipengaruhi oleh perubahan mata wang China semata-mata kerana terdapat faktor ekonomi lain yang lebih kukuh dapat mempengaruhi perubahan nilai ringgit.