Berita Terkini

Pergerakan Pasaran Awal Minggu Perlahan, Pelabur Kekal Berwaspada

Dengan kekurangan data-data penting pada permulaan dagangan Isnin, pergerakan pasaran dilihat agak pasif namun pelabur tetap berwaspada memantau perkembangan isu-isu yang mempengaruhi sentimen minggu lalu.

Setakat sesi dagangan Eropah hari ini, pergerakan matawang utama tidak begitu ketara selepas risiko terhadap pasaran sedikit reda ekoran luahan optimis Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menuju ke arah kesepakatan perjanjian bersama China.

People’s Bank of China (PBOC) dilaporkan telah menetapkan nilai Yuan di paras lebih kukuh berbanding minggu lalu. Dengan minggu protes yang semakin beransur tenang di Hong Kong, dan juga kenaikan pada hasil pulangan bon AS, suasana pasaran dilihat sedikit pulih.

Perkembangan di Eropah, Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz, telah mengapungkan rangsangan dengan nilai 50 billion Euro, di mana telah digunakan ketika krisis 2008 yang lalu. Ekonomi terbesar zon Eropah itu dilihat membuat persiapan selepas ekonomi dilaporkan menguncup untuk suku kedua dan berkemungkinan menuju ke arah kegawatan.

Perkembangan Brexit pula, dilaporkan bahawa kebocoran maklumat kertas kerajaan oleh Pejabat Kabinet mendedahkan United Kingdom berkemungkinan berdepan masalah kekurangan makanan, perubatan dan bahan bakar.

Mereka juga bakal menghadapi kesukaran dengan tiga bulan gangguan di pelabuhan dan sempadan Ireland.

Ketua pembangkang, Jeremy Corbyn akan bermesyuarat pada minggu depan bersama parti pembangkang untuk berbincang strategi untuk menghalang situasi Brexit tanpa perjanjian daripada berlaku.

Data-data ekonomi pada minggu ini dilihat tidak terlalu padat dan tumpuan pasaran akan terarah pada minit mesyuarat bank-bank pusat dan juga ucapan Jerome Powell pada simposium Jackson Hole penghujung minggu ini.

Tidak lupa juga, perkembangan pada isu geopolitik yang masih berlarutan akan dipantau untuk mengikuti perubahan pada sentimen pasaran yang mempengaruhi pergerakan matawang utama dunia.