Berita Terkini

Pergerakan Pasaran Perlahan Sehingga Sesi Dagangan Eropah Hari Ini

Setakat sesi pasaran Eropah hari ini, pergerakan pasaran masih lagi dilihat tenang sementara menantikan kenyataan-kenyataan penting oleh Pengerusi Federal Reserve, Jerome Powel dalam ucapannya pada simposium Jackson Hole, Wyongmin Jumaat ini.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyeru Fed untuk penurunan kadar faedah sehingga 100 mata asas sebelum memperkenalkan pelonggaran kuantitatif sementara Presiden Fed Boston, Eric Rosengren mahu menunggu dan melihat.

Fed sebelum ini telah menurunkan kadar faedah pada mesyuarat polisi yang terbaru namun, Powell menjelaskan tindakan penurunan kadar itu bukanlah langkah permulaan untuk lanjutan penurunan kadar yang lebih besar. Keputusan bank pusat itu tidak memuaskan hati Presiden Trump yang mengecam tindakan Fed membuat kesilapan dalam penetapan polisi monetari.

Sesi pasaran Asia menyaksikan pengukuhan pada dagangan dolar Australia susulan minit mesyuarat bagi mesyuarat polisi bank pusat Australia diterbitkan. Pasaran menjangkakan Reserve Bank of Australia (RBA) bakal mengekalkan kadar faedah di paras rendah seperti sebelum ini.

Sesi Eropah pula melihatkan dagangan dolar Euro dan Pound Sterling kekal mencatatkan penurunan pada dagangan masing-masing.

Perdana Menteri UK, Boris Johnson menawarkan tetapan kawalan kastam di Ireland Utara jika Kesatuan Eropah berbuat perkara yang sama di Republik Ireland. Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk menolak permintaan Johnson untuk merundingkan semula isu sempadan Ireland.

Di Itali, Perdana Menteri Giuseppe Conte akan bersemuka para penggubal undang-undang dan bakal meletak jawatan selepas rakan sekutu The League dan 5-Star Movement telah tumbang.

Seperti semalam, ketiadaan data-data ekonomi utama pada hari ini mendorong pergerakan yang perlahan dalam pasaran. Namun, pelabur kekal berwaspada mengawal risiko dagangan serta memantau isu-isu yang berpotensi memberi impak signifikan terhadap pasaran semasa.