Berita Terkini

Saham Baidu Naik Setelah Mengatasi Jangkaan Awal

Harga saham bagi syarikat Baidu melonjak apabila merekodkan perolehan pada suku kedua mengatasi jangkaan dari penganalisis ekonomi. Baidu yang merupakan syarikat carian gergasi di China mengalami kenaikan sebanyak $7.52 kepada $104.22. Kenaikan sebanyak 7.78% itu merupakan antara yang tertinggi sejak mengalami kejatuhan sejak April lalu.

Baidu melaporkan keuntungan bagi setiap saham bernilai $0.96 sesaham pada hasil $3.84 bilion, mengatasi ramalan awal sekitar $0.88 sesaham dan hasil $3.66 bilion. Bagi suku ketiga, hasil bagi syarikat ini dianggarkan sekitar $3.84 bilion hingga $4.07 bilion.

Prestasi pada suku kedua yang dianggap kukuh membolehkan Baidu menambahbaik kualiti pada platform mudah alihnya sekaligus menarik lebih banyak tontonan.

Robin Li, pengasas bersama dan juga CEO bagi syarikat Baidu berkata fokus mereka ketika ini adalah untuk memperkuatkan ekosistem mudah alih melalui kandungan ilmiah, mempunyai halaman yang terurus agar pengguna merasai pengalaman yang lebih baik dan meningkatkan kadar carian untuk pengguna.

Tambah beliau, meskipun kadar penembusan bagi internet di China bergerak agak perlahan, mereka menganggap ini adalah suatu peluang besar untuk menyediakan kandungan dan perkhidmatan saluran yang merentasi pelbagai platform.

Dalam laporan pada bulan Jun, aplikasi Baidu menunjukkan purata pengguna naik 27% kepada 188 juta berbanding Jun lalu. Bagi ruangan pertanyaan juga meningkat lebih 20% daripada tahun lepas dan purata bulanan bagi pengguna program mini pintar bertambah kepada 270 juta iaitu kenaikan sebanyak 49%.