Berita Terkini

Saham Utusan Susut Kepada 7.5 Sen, Hadapi Kemungkinan Dinyah Senarai Daripada Bursa Malaysia

Kegagalan Utusan Melayu (Malaysia) mengemukakan pelan regularisasi sebagai penerbit Nota Amalan 17 (PN17) kepada Bursa Malaysia berikutan masalah kewangan yang dihadapi, membawa kemerosotan dalam saham Utusan.

Pada sesi pembukaan dagangan awal pagi, saham Utusan susut 31.81% kepada 7.5 sen dengan 843,900 saham bertukar tangan.

Kerugian bersih dicatatkan sebanyak RM3.89 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 berbanding keuntungan bersih RM18.85 juta dalam tempoh sama pada 2018 manakala bagi tempoh separuh pertama, kerugian bersih adalah RM12.09 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM13.01 juta pada tahun sebelum.

Pada masa yang sama, pendapatan yang diraih mengalami penurunan 59.4% kepada RM25.91 juta berbanding RM63.87 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan pengurangan terhadap pengeluaran, pengagihan dan pengiklanan sebanyak RM37.96 juta.

Terdahulu, syarikat itu memaklumkan ketidakupayaan dalam memenuhi keperluan bursa tempatan untuk meningkatkan status PN17 selepas kerugian yang ditanggung dalam kedua-dua suku pertama tahun 2019 dan aliran tunai yang terhad diambil kira.

Disebabkan menanggung liabiliti yang besar, Utusan menghadapi kegagalan untuk menarik pelabur baru yang berpotensi untuk memulihkan syarikat tersebut.

Berikutan daripada keadaan tersebut, saham Utusan berkemungkinan dinyah senaraikan daripada Bursa Malaysia.