Berita Terkini

Tekanan Sekatan AS, Syarikat Minyak China Hentikan Urusniaga Minyak Venezuela

Menurut laporan Reuters pada Isnin, syarikat pembeli utama minyak Venezuela iaitu China National Petroleum Corp (CNPC) telah menghentikan pembelian pada Ogos berikutan sekatan oleh Amerika Syarikat terhadap pengekport minyak di Amerika Selatan.

Pentadbiran Trump pada awal Ogos telah membekukan segala aset kerajaan Venezuela di Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat diberi amaran untuk tidak berususan dengan Venezuela.

CNPC akan menunggu garis panduan daripada Jabatan Perbendaharaan AS sebelum tindakan lebih lanjut dalam mengendalikan isu minyak Venezuela.

Tindakan sekatan disusuli dengan komunikasi terbaru antara Amerika Syarikat dan kerajaan China, termasuk mesyuarat antara wakil pegawai Amerika Syarikat di Beijing dan pengurusan tertinggi di CNPC.

White House telah melancarkan sekatan terhadap industri minyak Venezuela pada Januari lalu sebagai usaha untuk mengundurkan kedudukan Presiden Sosialis Nicolas Maduro yang telah dipilih semula pada 2018 di mana dilihat oleh sebahagian besar Hemisfera Barat sebagai tidak sah.

Arahan eksekutif Trump yang dikeluarkan pada 5 Ogos tidak secara terperinci menjelaskan sekatan terhadap syarikat-syarikat bukan dari Amerika Syarikat untuk berurusan bersama Venezuela.

Namun, arahan tersebut mengancam pembekuan aset Amerika Syarikat terhadap mana-mana individu atau syarikat yang dikenalpasti memberi bantuan terhadap kerajaan Venezuela.

Beijing telah menyumbang bantuan kepada kerajaan bekas Presiden Hugo Chavez dengan pinjaman melebihi nilai $50 bilion lebih sedekad, untuk mengekalkan jaminan bekalan minyak dan mengeratkan sekutu di Amerika Latin.

Namun Beijing semakin dilanda kebimbangan beberapa tahun kebelakangan ini terhadap bekalan minyak mentah global di samping ekonomi Venezuela yang semakin menuju ke arah kemelesetan.

Menurut data oleh Jabatan Kastam China, untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, China telah mengimport 8.67 juta tan minyak mentah dari Venezuela, atau anggaran sekitar 350,000 tong sehari dan sekitar 3.5% jumlah import mereka.