Berita Terkini

USD Meningkat, Data Jualan Runcit AS Redakan Kebimbangan Terhadap Risiko Kemelesetan

Permulaan dagangan pada sesi Jumaat menyaksikan matawang dolar Amerika Syarikat (AS) kembali diniagakan kukuh didorong oleh data jualan runcit yang positif, meredakan sementara kegelisahan terhadap risiko kemelesetan ekonomi gara-gara penyongsangan lengkungan pada hasil bon AS.

Hasil pulangan bon 2 tahun AS menurun daripada 1.58% kepada 1.46%, terendah sejak 2017 manakala hasil pulangan bon 10 tahun pula turun kepada 1.47% daripada 1.59%, terendah sejak tahun 2016.

Data jualan runcit AS untuk bulan Julai yang dikeluarkan pada sesi pasaran New York semalam mencatatkan kenaikan kepada 0.7% dengan mudah mengatasi jangkaan kekal oleh pasaran pada 0.3% seperti bulan sebelumnya.

Sementera bacaan jualan runcit teras juga turut meningkat kepada 1.0% mengatasi jangkaan kenaikan 0.4% oleh pasaran daripada bacaan 0.3% pada bulan Jun yang telah dikemaskini menurun.

Kemudiannya, data pengeluaran perindustrian di Amerika Syarikat menyusul selepas itu dengan angka bacaan yang kurang memuaskan. Bacaan data bagi bulan Julai mencatatkan penurunan -0.2% meleset berbanding jangkaan penguncupan 0.1% oleh pasaran dengan bacaan pada bulan Jun sebelumnya dikemaskini meningkat kepada 0.2%.

Berhubung perkembangan geopolitik, China dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangkan kepada pasaran dengan menyatakan Amerika Syarikat telah mencemari konsesi terdahulu dan China bakal mengambil tindakan balas.

Sementara di Eropah, ada laporan berkenaan European Central Bank (ECB) yang memberi tekanan terhadap dagangan dolar Euro dan turut menjadi faktor meningkatkan dagangan dolar AS. Bank pusat Eropah tersebut dikatakan sedang membuat persiapan untuk tindakan rangsangan pada bulan September ini.