Berita Terkini

Wall Street Ditutup Tinggi, Eropah Dan China Umum Rancangan Baru

Pasaran saham Amerika Syarikat ditutup tinggi minggu lalu ekoran pasaran bon yang kembali pulih serta pengumuman yang dibuat oleh Eropah dan China mengenai perancangan untuk merangsang kembali ekonomi mereka yang terjejas akibat perang dagangan.

Pergerakan positif ditunjukkan oleh pasaran saham AS dimana indeks Dow Jones menokok 306.61 mata kepada 25,886.01 mata, S&P 500 naik 41.08 mata kepada 2,888.68 mata manakala Nasdaq meningkat 129.37 mata kepada 7,895.99 mata.

Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan China berkata mereka akan menyuntik beberapa dasar baru bagi meningkatkan semula ekonomi negara, menstabilkan kadar pengangguran dan memberi ruang untuk rakyat mempunyai lebihan wang.

Walaupun pihak China tidak menyebut secara terperinci mengenai isu tersebut, ia sudah memadai untuk para pelabur menarik nafas lega di sebalik perang dagangan yang memberi kesan buruk kepada ekonomi dunia.

Langkah itu selari dengan pihak Hong Kong yang menyuntik dana $19 bilion bagi mengatasi kemelesetan berikutan protes besar-besaran yang berlaku disana.

Bank Pusat Eropah berkata pihak mereka akan mengumumkan langkah-langkah rangsangan yang besar pada bulan hadapan. Meskipun sudah memberi petunjuk awal mengenai perkara tersebut, Ollie Rehn merasakan rangsangan ini akan menjadi lebih baik dari jangkaan pelabur. Beliau yang juga merupakan Gabenor Bank Finland melihat perkara ini akan menjadi lebih berkesan jika dilakukan dalam skala yang besar.