Berita Terkini

2 Matawang Yang Kukuh Ini Akan Jadi Tarikan Pelabur!

Menjadi dagangan tumpuan pelabur pada sesi New York semalam adalah dolar Kanada yang mengukuh setelah bank pusat Kanada mengumumkan dasar monetari dikekalkan.

Bank of Canada (BOC) mengekalkan kadar faedah di paras 1.75% untuk mesyuarat September dengan menyatakan dasar polisi yang digunapakai sekarang adalah bertepatan dan menyokong ekonomi negara walaupun berdepan krisis perdagangan global.

Secara teknikal, Loonie telah melonjak lebih 100 pips berbanding dolar USD susulan kenyataan positif oleh bank pusat yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi Kanada.

Namun sebelum itu, pengukuhan nilai matawang lebih didahului oleh Pound Sterling pada sesi sebelumnya ekoran kebimbangan pasaran terhadap situasi Brexit tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah (EU) semakin berkurangan.

Terkini, para penggubal undang-undang di UK telah menolak cadangan untuk diadakan pilihan raya dengan undian yang dimenangi. Keadaan ini akan menyukarkan lagi Perdana Menteri UK Boris Johnson untuk meneruskan agenda beliau.

Susulan kekalahan tersebut, PM Johnson menyatakan di dewan parlimen bahawa kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik jika Parlimen menyerahkan undang-undang yang menghapuskan keupayaan kerajaan untuk berunding. Justeru itu, beliau mengatakan pilihan raya yang baru adalah perlu.

Sementara itu, dagangan matawang dolar Amerika Syarikat (AS) didagangkan lemah pada hari ini kecuali berbanding matawang Yen Jepun ekoran pelabur masih dibayangi penurunan pada bacaan data tinjauan PMI perkilangan di Amerika Syarikat selain ketidakpastian pada keputusan rundingan dagang AS-China masih memberi kegelisahan kepada pelabur.

Perkembangan di Eropah, calon pengerusi di European Central Bank (ECB), Christine Lagarde dalam ucapan beliau semalam mengatakan dengan inflasi yang kekal rendah, polisi yang sangat akomodatif adalah dilihat wajar untuk tempoh yang berpanjangan.

Dagangan dolar Euro buat masa ini juga dilihat berjaya mencatatkan pengukuhan berbanding dolar AS dengan turut mengambil kesempatan ke atas dagangan matawang Amerika yang lemah itu.