Berita Terkini

Adakah Langkah Positif China Ini Akan Sejukkan Hati Trump?

Dengan sesi pasaran Asia beralih memasuki sesi Eropah hari ini, sentimen pasaran dilihat semakin menunjukkan pemulihan didorong oleh perkembangan positif pada laporan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Media Global Times melaporkan China bakal memperkenalkan langkah penting terbaru dengan objektif untuk mengurangkan impak negatif kesan daripada perang dagang.

Agensi berita China turut melaporkan bahawa Kementerian Kewangan China telah mengeluarkan senarai awal pengecualian tarif untuk barangan Amerika Syarikat.

Senarai pengecualian tarif tersebut akan berkuatkuasa pada 17 September ini dan kekal untuk tempoh satu tahun sehingga 16 September 2020.

Barangan yang disenaraikan akan dikecualikan daripada tarif tambahan yang dikenakan oleh China disebabkan tindakan balas tarif oleh Amerika sebelumnya. Barangan yang disenaraikan termasuk produk makanan tetapi jagung, kacang soya dan daging babi tidak disenaraikan dalam senarai awal tersebut.

Masih ada lagi baki produk yang diteliti oleh China untuk dimasukkan dalam senarai pengecualian tarif selepas ini termasuk ubat-ubatan anti-kanser.

Laporan ini memberikan khabar yang positif berikutan tindakan China dilihat cuba untuk mengurangkan ketegangan hubungan bersama Amerika. Dengan itu, sentimen pasaran semakin bertambah pulih dan bakal menyokong dagangan dolar USD berbanding aset safe-haven.

Sementara itu, pelabur akan kekal berwaspada dan mengikuti perkembangan hubungan dagang dua ekonomi gergasi dunia ini dengan rundingan seterusnya dijadualkan akan diadakan pada bulan Oktober.