Berita Terkini

AirAsia Dan AirAsia X Didenda RM200,000!

Pengawal selia Penerbangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan denda kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) sebanyak RM200,000 masing-masing berikutan pengenaan fi pemprosesan kad kredit, debit dan perbankan dalam talian, berasingan daripada tambang asas mereka.

Berikutan daripada tindakan tersebut, AirAsia dan AirAsia X didapati melanggar subperenggan 3(2) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang mensyaratkan pendedahan harga akhir tambang udara.

Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua syarikat penerbangan tersebut bagi mematuhi proses yang wajar untuk menentukan sama ada pelanggaran kod telah dilakukan dan memberi peluang kepada syarikat penerbangan untuk menyediakan sebab untuk mengurangkan kadar denda.

Bagi melindungi industri penerbangan Malaysia, kod MACPC lebih telus dalam penyediaan perkhidmatan penerbangan serta memberi panduan yang jelas kepada pelanggan mengenai hak dan kepentingan sebagai pengguna.

Sementara itu, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) turut didenda sebanyak RM1.18 juta kerana anak syarikat Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) tidak mematuhi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Airports di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang.

Rangka kerja QoS telah dilaksanakan di KLIA dan KLIA2 pada 1 Sept, 2018. Bagaimanapun, MA Sepang didapati tidak mematuhi sasaran Lapangan Terbang QoS terpilih yang ditetapkan oleh Mavcom pada suku pertama 2019.

Menurut Mavcom, pengenaan penalti ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan, integriti dan ketelusan dalam industri penerbangan selari dengan objektif jangka panjang Mavcom untuk industri.

Ketiga-tiga syarikat tersebut telah menerima surat daripada Suruhanjaya mengenai pengenaan denda pada 6 September 2019.