Berita Terkini

Alibaba Menganjurkan ‘Minggu Malaysia’ Buat Kali Kedua Di China

Berikutan kejayaan Minggu Malaysia yang pertama pada 2018, Alibaba Group, dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menganjurkan Minggu Malaysia buat kali kedua dari 16 hingga 22 September yang menampilkan pelbagai jenama dan produk Malaysia.

Kempen itu bertujuan menarik pengguna China untuk membeli produk Malaysia menerusi pasaran dalam talian, yang merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Alibaba kepada Malaysia, hab elektronik pertama Platform Perdagangan Dunia (eWTP) di luar China.

Peningkatan permintaan terhadap produk Malaysia di China khususnya dalam pertanian dan makanan, merupakan salah satu faktor utama yang membawa kepada penganjuran kali kedua ini, menurut Setiausaha Agung pejabat globalisasi Alibaba, James Song.

Peniaga-peniaga Malaysia boleh menggunakan kempen ini untuk mempromosikan produk tempatan kepada lebih ramai pengguna China di samping meningkatkan jualan eksport negara kerana pasaran domestik di China semakin berkembang dengan peningkatan penggunaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MDEC, kerjasama ini juga merupakan salah satu langkah dalam meningkatkan eksport usahawan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi kempen tahun ini, Alibaba menyediakan saluran jualan yang lebih mantap dari tahun lepas untuk membantu menaikkan jenama Malaysia di kalangan pengguna China. Antara saluran jualan teratas yang menyertai kempen kali ini termasuk livestreaming Taobao, Juhuasuan, Tmall, Tmall Global, Freshippo, 1688.com dan Fliggy.

Selain itu, Juhuasuan yang merupakan platform jualan kilat Alibaba juga akan menjadi tuan rumah acara pada 18 Sept di Kuala Lumpur, sebagai inisiatif untuk memacu eksport kategori produk utama dari Malaysia, seperti sarang burung, durian dan kopi putih.