Berita Terkini

Aliran Keluar Bersih Asing Cecah Angka Tertinggi Sejak Jun 2018!

Penjualan di Bursa Malaysia menyaksikan peningkatan penjualan ekuiti tempatan RM4.93 bilion oleh pelabur asing untuk bulan Ogos di mana jumlah aliran keluar bersih asing mencecah RM2.6 bilion iaitu paling tinggi dicatatkan sejak Jun, 2018, lapor MIDF Research.

Pelabur asing terus mengurangkan penglibatan ke atas saham yang disenaraikan di bursa tempatan bagi tujuh minggu berturut-turut pada minggu lalu namun dengan kadar yang lebih perlahan.

Penjualan asing sebanyak RM243.3 juta pada Isnin minggu lalu didorong oleh perang dagang yang semakin menegang di mana kedua-dua negara ekonomi gergasi Amerika Syarikat (AS) dan China saling berbalas penambahan tarif masing-masing ke atas barangan import negara tersebut.

Aliran keluar bersih asing terus meningkat pada Selasa sebanyak RM293.6 juta iaitu paling tinggi dalam tempoh tiga minggu walaupun terdapat bayangan awal rundingan dagangan oleh China terhadap AS selepas pasaran kewangan China terjejas akibat pertikaian tersebut.

Penjualan asing menyusut pada hari seterusnya sebanyak RM13.2 juta namun tetap berlaku kemerosotan di bursa tempatan sehingga mencapai paras terendah untuk ditutup sejak September 2015 berikutan ketidakpastian pelabur terhadap hala tuju rundingan perang dagangan antara AS dan China.

Seterusnya, prestasi Wall Street yang mengukuh pada dagangan semalaman serta perkembangan positif dalam perang dagangan membawa masuk kembali pelabur asing ke dalam pasaran tempatan dengan catatan aliran keluar bersih asing kepada RM48.5 juta pada Khamis dan RM177.1 juta pada Jumaat.

Prestasi pasaran minggu lalu membawa kepada aliran keluar bersih dana asing berjumlah RM7.34 bilion bagi asas terkini tahun ini.