Berita Terkini

AS-China Kembali Berunding, Wall Street Beri Reaksi Positif

Pasaran saham Amerika Syarikat ditutup tinggi ekoran pengumuman yang dibuat oleh kerajaan China tentang perang dagangan. China bersetuju untuk meneruskan semula rundingan dengan pihak Washington mengenai tarif yang sebelum ini menjadi senjata utama di dalam perang ini. Pengumuman tersebut merangsang semula keyakinan pelabur terhadap pasaran saham AS.

Indeks Dow Jones ditutup pada paras 26,728.15 mata, melonjak 372.68 mata. S&P 500 pula naik 38.22 mata kepada 2,976.00 mata manakala Nasdaq meningkat 139.95 mata kepada 8,116.83 mata.

Saham-saham yang popular di AS juga meningkat seiring dengan kenaikan Wall Street. Apple naik $4.09 kepada $213.28, Facebook naik $3.76 kepada $190.90, Tesla naik $8.90 kepada $229.58 dan Microsoft naik $2.42 kepada $140.05.

Meskipun harapan untuk melihat kesepakatan perdagangan antara AS dan China agak tipis, ditambah lagi dengan kemerosotan dalam pertumbuhan global apabila ketegangan perdagangan meningkat, rundingan ini dilihat memberi sedikit nafas lega kepada pelabur.


Kementerian Perdagangan China telah mengeluarkan kenyataan pada pagi Khamis, mengatakan bahawa Liu He yang merupakan perunding utama perdagangan di Beijing, telah berbicara dengan Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan satu lagi rundingan perdagangan yang bertempat di Washington menjelang awal bulan depan, dan rundingan akan dibuat pada pertengahan September sebagai persediaan awal untuk mesyuarat tersebut