Berita Terkini

Berapa Lamakah Sentimen Positif Pasaran Ini Mampu Bertahan?

Menjelang pembukaan sesi pasaran Eropah hari ini, dagangan matawang pulangan tinggi dilihat menyerlah ekoran keyakinan pelabur disokong oleh pengumuman rundingan dagang terbaru Amerika Syarikat dan China yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.

Dolar Australia dan New Zealand serta matawang Yuan China antara yang melonjak berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sementara dagangan safe-haven Yen terutamanya diniagakan lemah dengan mencatatkan penurunan ke paras terendah 3 minggu berbanding dolar AS.

Rundingan terbaru bakal berlangsung pada awal Oktober, diumumkan oleh Kementerian Perdagangan China susulan perbualan telefon di antara Timbalan Presiden China Liu He bersama Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin serta Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer.

Perkembangan kekecohan di Hong Kong dilihat kembali reda selepas ketua pemimpin Carrie Lam menarik balik cadangan peraturan kontroversi yang sebelum ini mencetuskan rusuhan keganasan di bandar utama.

Sementara berita lebih optimis diterima dari Britain dengan jangkaan situasi no-deal Brexit berpotensi untuk dielakkan berlaku sekaligus menjadi pendorong bagi pengukuhan semasa matawang Sterling.

Perkembangan politik yang positif termasuk di Hong Kong, Itali dan Britain buat masa ini memberi bayangan yang positif untuk pelaburan dan faktor tersebut juga meningkatkan saham Asia dan juga hasil bon.

Dolar Australia kini telah mencatatkan kenaikan ke paras tertinggi satu bulan selepas mendapatkan momentum lonjakan selepas keputusan penetapan kadar faedah oleh bank pusat pada awal minggu manakala dolar New Zealand pula mencatatkan kenaikan ke paras tertinggi satu minggu.

Lonjakan tersebut diikuti oleh dagangan Loonie semalam selepas kenyataan bank pusat Kanada nyata memberi isyarat optimis terhadap kestabilan ekonomi semasa dengan kadar faedah terus dikekalkan di paras sebelum ini.