Berita Terkini

Cloudflare Bakal Muncul Di Wall Street

Syarikat yang bakal disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat, Cloudflare Inc. mengumumkan sejumlah 35 juta saham akan dijual kepada orang awam yang bernilai $15 sesaham. Harga itu dilihat lebih tinggi berbanding jangkaan awal sebelum ini sekitar $12 hingga $14 sahaja.

Syarikat berasaskan platform rangkaian “cloud” itu membekalkan sistem keselamatan, meningkatkan prestasi aplikasi untuk perniagaan yang penting, menghapuskan kos dan memudahkan pengurusan dalam rangkaian peribadi. Dikhabarkan syarikat itu dapat mengumpul sekurang-kurangnya $525 juta bagi saham penawaran awal dengan penilaian awal sebanyak $4.4 bilion.

Cloudflare merancang untuk disenaraikan di Bursa Saham New York menggunakan simbol “NET”. Goldman Sachs, Morgan Stanley dan JPMorgan merupakan pengunderait utama dalam perjanjian dengan lapan lagi bank yang bertindak sebagai pengurus bersama, dan mereka akan mempunyai akses kepada tambahan 5.25 juta saham. Perolehan perjanjian itu akan digunakan untuk tujuan korporat umum.

Penyenaraian ini datang hanya beberapa bulan selepas sebuah lagi syarikat keselamatan siber, CrowdStrike Holdings Inc. yang disenaraikan pada Jun di mana syarikat itu merekodkan kenaikan 111% daripada harga tawaran awal mereka.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu berkata perkhidmatannya dapat menyekat 44 bilion ancaman siber daripada 20 juta penggodam dalam masa sehari dan ianya lebih sesuai dengan persekitaran “cloud” hari ini. Sistem keselamatan sebelum ini tidak mampu menampung ancaman yang sebegitu besar dan sebahagiannya tidak serasi dengan sistem berasaskan “cloud”.

Syarikat itu juga menjangkakan perbelanjaan am dan pentadbiran akan terus meningkat untuk masa hadapan yang boleh dikatakan dapat menyokong pertumbuhan bagi menampung kos tambahan yang berkaitan dengan perundangan, perakaunan, pematuhan, insurans, hubungan pelabur, dan kos lain yang bakal ditanggung sebaik sahaja disenaraikan di pasaran saham.