Berita Terkini

Dagangan Saham Axiata Dan Digi Digantung?

Dagangan dalam saham Axiata dan Digi hari ini digantung untuk sesi dagangan petang bermula 2.30 petang sehingga jam 5.00 petang. Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa perbincangan penggabungan antara kedua-dua syarikat tersebut menemui jalan buntu.

Menjawab kepada persoalan tersebut, ternyata benar apabila Axiata Group Bhd dan Telenor ASA Norway mengesahkan bahawa perbincangan mengenai gabungan bukan tunai bagi aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia ditamatkan.

Minggu lalu, Axiata mempertahankan bahawa rundingan gabungan antara kedua-dua syarikat tersebut masih dijalankan dan ia akan mengambil masa antara tiga atau enam bulan dengan jangkaan perbincangan tersebut akan berakhir pada November.

Bagaimanapun menurut kenyataan terbaru, kedua-dua pihak telah berusaha untuk mencapai perjanjian bersama untuk diselesaikan dalam tempoh suku ketiga 2019 namun timbul kesukaran dalam transaksi yang dicadangkan telah membawa kepada persetujuan bersama untuk menamatkan perbincangan tersebut.

Penggabungan itu dilihat sukar untuk dicapai kerana terdapat halangan daripada Indonesia yang tidak memberi persetujuan berikutan Norway yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum ini memberi tekanan kepada import minyak sawit, menurut The Star.

Selain itu, Axiata turut berkata bahawa penamatan perbincangan itu tidak akan memberi kesan kepada keupayaan syarikat tersebut untuk mencapai aspirasi Juara Digital pada 2022.

Sebelum ini gabungan Axiata dan Telenor menjadi tumpuan pasaran yang mana dengan penggabungan ini akan menjadikan mereka sebagai pengendali mudah alih terbesar di rantau Asia, yang menyaksikan Telenor sebagai pemegang saham majoriti dengan jangkaan 56.5% pemilikan manakala 43.5% oleh Axiata.