Berita Terkini

Ini Perkembangan Dagangan Sterling Dan Euro Pada Sesi Pasaran Eropah

Dagangan Pound Sterling masih mengekalkan momentum pengukuhan sejak minggu lalu dengan data domestik yang mengeluarkan angka bacaan positif menyokong matawang British itu dalam ketidaktentuan politik yang melanda.

Selepas data pertumbuhan GDP UK serta pengeluaran perindustrian diterbitkan kukuh, sesi Eropah hari ini pula menyaksikan laporan data pekerjaan UK yang turut mencatatkan bacaan positif.

Purata pendapatan mingguan termasuk bonus untuk tiga bulan yang berakhir pada Julai dijangkakan kekal meningkat di paras 3.7% sebaliknya mencatatkan bacaan lebih tinggi iaitu 4.0%.

Dengan bilangan tuntutan bagi yang tidak bekerja yang menurun, kadar pengangguran di UK juga turut mencatatkan penurunan ke paras 3.8% berbanding jangkaan kekal pada 3.9% seperti sebelum ini.

Sementara itu, isu hangat di Parlimen Britain masih dipantau pelabur dengan keputusan undian bagi halangan Brexit tanpa perjanjian sedang dinantikan.

Dalam pada kekecohan yang berlaku, jurucakap Dewan Parlimen UK, John Bercow mengumumkan bahawa beliau akan berundur dari jawatan tersebut pada 31 Oktober iaitu hari pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah.

Dagangan dolar Euro pula masih bergerak lemah pada sesi Eropah hari ini dengan bacaan data pengeluaran perindustrian di Itali dan Perancis mencatatkan bacaan yang lemah.

Namun, apa yang lebih menjadi kebimbangan terbesar pelabur adalah keputusan mesyuarat polisi monetari bank pusat Eropah pada Khamis.

European Central Bank (ECB) dijangka akan terus mengekalkan kadar faedah di paras sifar dengan polisi pelonggaran bagi menyokong kesihatan ekonomi yang tidak menentu di zon Eropah.