Berita Terkini

Ini Sebab Kenapa Alibaba Beli Kaola

Syarikat dagangan dari China, Alibaba mengumumkan pembelian anak syarikat kepada NetEase, Kaola dengan nilai kira-kira $2 bilion sekaligus menggabungkan Kaola dengan salah sebuah anak syarikat Alibaba, Tmall. Penggabungan ini bakal mewujudkan platform e-dagang merentasi sempadan terbesar di China.

Kaola merupakan syarikat yang menjual barangan import di China termasuk pakaian, perkakas elektronik dan aksesori sukan. Ia merupakan salah satu laman web e-dagang terbesar di China selain Tmall Global milik Alibaba dan JD.com milik JD Worldwide.

Alibaba berkata ia merancang agar Kaola terus beroperasi secara bebas di bawah jenama sendiri, tetapi bakal diterajui oleh pemimpin yang baru. Pengurus Besar Import dan Eksport Tmall, Alvin Liu akan mengambil alih tugas sebagai CEO.

China adalah salah satu daripada pasaran e-dagang terbesar di dunia. Di dalam sebuah penyelidikan, nilai dagangan China pada tahun ini mencecah pada nilai $1.935 trilion, kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi daripada Amerika Syarikat.

CEO Alibaba, Daniel Zhang dalam satu kenyataan berkata syarikat itu yakin tentang masa depan pasaran e-dagang import China sambil menyifatkan pasaran ini masih di dalam usia muda dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

Perniagaan Alibaba lebih fokus kepada platform membeli-belah seperti Tmall dan Taobao. Pengguna aktif tahunan di pasaran runcit China Alibaba mencecah 674 juta, meningkat sebanyak 20 juta dan kebanyakan pengguna baru dikatakan berasal dari bandar kurang maju.

Alibaba bersama sebuah lagi syarikat milik Jack Ma iaitu Yunfeng, akan melabur kira-kira $700 juta dalam perkhidmatan aliran muzik NetEase, NetEase Cloud Music. Ketika ini saham Alibaba didagangkan pada $178.94, naik $4.61 pada sesi dagangan semalam.