Berita Terkini

Kekhuatiran Terhadap Perang Dagang Semakin Pudar: China Galakkan Syarikatnya Membeli Barangan AS

Laporan yang dikeluarkan pada hari ini melaporkan bahawa China menggalakan syarikat-syarikat negaranya agar membeli produk-produk ladang Amerika Syarikat termasuk kacang soya dan khinzir. Dalam masa yang sama China akan mengecualikan barangan komoditi tersebut daripada tarif tambahan. Tindakan ini merupakan tindakan terkini yang dilakukan oleh China bagi mengurangkan ketegangan perang dagang AS-China sebelum kedua-dua pihak meneruskan rundingan.

Menteri Perdagangan mengumumkan pada hari Jumaat bahawa mereka akan turut mengecualikan beberapa barangan Amerik Syarikat daripada pengenaan tarif tambahan sebanyak 25% yang dikenakan pada tahun lepas. Hal ini kerana kerajaan China sedang berusaha untuk mengurangkan impak yang terhasil daripada perang dagang. Walaubagaimanapun, China tidak memperincikan jumlah pembelian kacang soya dan khinzir.

Pasaran ekuiti telah menunjukkan lonjakan sejak beberapa hari ini berikutan Presiden Donald Trump dan Pemimpin China menunjukkan usaha untuk mengurangkan ketegangan perang dagang yang memberi kesan kepada ekonomi global.

Pentadbiran Trump telah membincangkan untuk menawarkan perjanjian perdagangan secara terbatas kepada China. Perkara ini akan membawa kepada penangguhan dan pengecualian beberapa tarif AS dengan syarat China berjanji akan komited dengan hak harta intelek AS dan membeli barangan pertanian AS.

Kedua-dua belah pihak akan bertemu pada minggu hadapan bagi memperhalusi perjanjian dan meneruskan rundingan.