Berita Terkini

KLCI Dan Ringgit Catat Aliran Meningkat Untuk Dibuka Tinggi

Bursa Malaysia kembali dibuka tinggi pada sesi dagangan pagi hari ini selepas diheret jatuh oleh saham Axiata dan Digi semalam. Bagaimanapun, sentimen pasaran masih dalam keadaan berhati-hati berikutan kekurangan petunjuk kukuh daripada pemain institusi.

Indeks FBM KLCI dibuka pada 1,596.48 iaitu meningkat 0.63 mata daripada 1,595.85 ketika ditutup semalam dengan perolehan sebanyak 276.34 juta saham bernilai RM111.96 juta.

Saham Asia mengukuh dengan kebimbangan terhadap perang dagang AS dan China semakin reda dan kekurangan risiko terhadap no-deal Brexit mendorong pelabur untuk meraih keuntungan dalam pasaran berisiko menjelang mesyuarat dasar monetari oleh Bank Pusat, menurut Reuters. Nikkei Jepun catat kenaikan 0.32% manakala indeks luas saham Asia Pasifik MSCI menokok 0.1%.

Di pasaran tempatan, antara saham yang meraih keuntungan adalah Maybank, CIMB Group Bhd, Sime Darby Plantation, Tenaga dan Hong Leong Bank manakala saham yang mengalami penyusutan adalah Nestle (M) Bhd, Dutch Lady, MAHB dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Sementara itu, menjelang pengumuman dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia esok, ringgit diniagakan tinggi pada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1730 ketika ditutup semalam dan pelabur turut mengambil langkah berjaga-jaga untuk memasuki pasaran.

Unit tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0211/0258 daripada 3.0224/0254 manakala berbanding yen pula ringgit meningkat kepada 3.8747/8805 daripada 3.8852/8891 ketika ditutup Selasa.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.1500/1565 daripada 5.1387/1432 dan susut berbanding euro kepada 4.6066/6125 daripada 4.6062/6099.