Berita Terkini

KWSP Terima Dividen Yang Tinggi Dari 10 Syarikat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan telah menerima dividen sebanyak RM1.56 bilion daripada 10 Syarikat yang membayar dividen paling banyak dalam portfolionya pada separuh pertama 2019.

Berdasarkan laporan The Edge yang memetik data dikumpulkan oleh Bloomberg, jumlah dividen yang diterima oleh kumpulan itu adalah 5.4% lebih tinggi berbanding RM1.49 bilion tahun lalu.

Antara syarikat yang membayar dividen tertinggi kepada KWSP adalah terdiri daripada Digi.com Bhd, Axiata Group Bhd, Maxis Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Maybank Bhd, CIMB Group Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Petronas Chemical Bhd.

Dengan perbandingan bagi separuh pertama 2019, dividen sesaham yang diisytiharkan oleh CIMB Group, Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank adalah lebih tinggi berbanding dalam tempoh sama pada 2018.

Kenaikan ini dipengaruhi oleh dividen 12.5 sen sesaham yang diisytiharkan oleh RHB Bank dalam separuh pertama 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu, di mana KWSP memegang 41.3% kepentingan. Oleh itu, KWSP mengumpul pendapatan dividen sebanyak RM207 juta dari RHB Bank.

Terdahulu, KWSP mengumumkan pendapatan pelaburannya berjumlah RM12.32 bilion bagi suku kedua 2019 berbanding RM12.39 bilion pada tempoh sama tahun lalu berikutan prestasi lemah dalam pasaran saham tempatan.

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kedua 2019 disumbangkan terutamanya oleh ekuiti sebanyak RM6.33 bilion atau 51.4%. Dengan penambahan penyumbangan ekuiti pada suku pertama sebanyak RM4.16, ini menjadikan pendapatan pelaburan KWSP dari ekuiti berjumlah RM10.49 bilion untuk separuh pertama 2019.