Berita Terkini

Mahu Teruskan Perniagaan C-Store, Tesco Cari Rakan Kongsi Tempatan

Tesco Malaysia perlu mencari rakan kongsi tempatan baru untuk rangkaian kedai (c-store) atau kedai serbaneka di Malaysia selepas Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama), menamatkan kerjasama yang terjalin sejak 2014.

Pernama merupakan organisasi milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) yang menjalankan aktiviti peruncitan dan kemudahan pembelian barangan elektrik dan elektronik bertujuan untuk membantu bekas anggota tentera menyertai bidang peruncitan bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Kerjasama tersebut mula goyah apabila Pernama mengalami perubahan dalam struktur lembaga pengarah menyebabkan pengurusan kedai-kedai serbaneka terjejas dan prestasinya menyusut pada awal tahun ini, lapor The Edge.

Dengan pengunduran Pernama dari kerjasama tersebut, Tesco Malaysia memutuskan untuk terus menjalankan operasi sembilan unit kedai yang sedia ada iaitu Tesco Express yang sebelum ini dinamakan Tesco Pernama Express dan memohon kepada kementerian mengenai keputusan itu.


Sehubungan dengan itu, kementerian memberikan kelulusan bersyarat kepada Tesco Malaysia untuk terus mengendalikan kedai-kedai sedia ada sehingga 31 Mac, 2020 namun tidak boleh menambah rangkaian kedai baru sehingga menemui rakan kongsi yang baru dalam tempoh tersebut.

Tesco Malaysia dikehendaki mendapatkan rakan kongsi tempatan dengan 70% kepentingan dalam perniagaan kedai serbaneka walaupun mempunyai pegangan saham di Sime Darby kerana Malaysia mempunyai garis panduan yang ketat bagi mengawal kemasukan pasar raya asing ke dalam kedai berformat kecil, menurut The Edge.