Berita Terkini

Malaysia Bakal Terima Kemasukan Syarikat AI Dari United Kingdom

Enam syarikat Artificial Intelligence (AI) oleh United Kingdom (UK) akan menubuhkan operasinya di Malaysia dalam tempoh terdekat sebagai memperkukuhkan komitmen jangka panjang UK terhadap pelaburan dan kerjasama teknologi dengan negara ini.

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan UK bagi Asia Pasifik Natalie Black, kerjasama ini selari dengan matlamat kedua-dua negara untuk mempromosikan etika AI berikutan timbul kebimbangan terhadap perkara tersebut oleh beberapa pihak sebelum ini.

Bagi merealisasikan kerjasama ini, perbincangan telah dilakukan melalui pertemuan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika lawatan beliau ke UK pada Februari lalu.

Natalie Black juga turut menyatakan penggunaan AI yang tinggi akan dapat memacu inovasi serta meningkatkan produktiviti malah dengan persekitaran AI yang selamat dapat mendorong kepada ekonomi yang lebih sihat dan adil.

Sementara itu, AI oleh UK telah merekodkan pelaburan sebanyak $1 bilion dalam separuh pertama tahun ini. Kemasukan modal telah mendorong UK untuk menjadi pasaran ketiga terbesar dunia untuk pelaburan AI, di belakang AS dan China.

Teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) sudah menjadi keperluan dalam industri teknologi dan digunakan dalam bidang aplikasi dan perisian untuk terapi pertuturan, pembelajaran, perancangan dan penyelesaian pelbagai isu.

Teknologi AI kurang digunakan oleh syarikat di Malaysia kerana ia melibatkan kos yang tinggi namun dengan keupayaannya dalam meningkatkan produktiviti secara menyeluruh, negara perlu memanfaatkannya bagi persediaan menuju Revolusi Industri 4.0.