Berita Terkini

Matawang Euro Pamerkan Sedikit Kenaikan Beberapa Jam Sebelum Keputusan Mesyuarat ECB

Sesi pasaran Eropah menyaksikan dagangan dolar Euro yang bergerak perlahan sejak awal sesi Asia menunjukkan sedikit kenaikan sementara pelabur sedang menunggu keputusan mesyuarat polisi monetari oleh bank pusat Eropah beberapa jam sahaja lagi.

Kenaikan dolar Euro adalah didorong oleh bacaan pada kadar pengangguran suku tahunan di Itali yang mencatatkan angka lebih rendah berbanding jangkaan penurunan oleh pasaran. Kadar pengangguran untuk suku kedua adalah 9.9% lebih rendah berbanding jangkaan penurunan 10.0% daripada 10.3% sebelumnya.

Disusuli pula bacaan data pengeluaran perindustrian untuk zon Eropah bagi bulan Julai dengan angka yang diterbitkan masih lagi lemah dan lebih rendah berbanding jangkaan pasaran, bakal menekan semula dagangan Euro.

Pelabur kemudiannya akan lebih berhati-hati mengawal risiko dalam dagangan dengan jangkaan matawang Euro bakal menyusut disebabkan polisi pelonggaran yang akan dikekalkan oleh European Central Bank (ECB).

Tinjauan bank-bank utama dunia rata-rata memberikan pandangan dovish terhadap jangkaan keputusan mesyuarat ECB September. Justeru, kenaikan dolar Euro pada sesi Eropah ini berkemungkinan dilihat sebagai peluang untuk pelabur mendapatkan posisi dagangan di paras yang lebih baik.

Sementara, pergerakan matawang utama yang lain dilihat mendatar menuju dagangan penghujung minggu dengan ketiadaan data-data ekonomi penting untuk menjadi faktor penggerak pergerakan dalam pasaran.

Sentimen pasaran juga masih kekal positif dengan perkembangan positif rundingan dagang AS-China setakat ini dengan laporan Presiden AS Donald Trump mengumumkan penangguhan kenaikan tarif tambahan ke atas barangan import China dari 1 Oktober kepada 15 Oktober.