Berita Terkini

Mydin Bantah Kempen ‘Bebas Minyak Sawit’

Rangkaian pasar raya terbesar di Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) membuktikan tentangannya terhadap kempen anti minyak sawit dengan menyingkir keluar produk berlabel ‘bebas minyak sawit’ daripada rak jualan pasar raya tersebut.

Pengarah Urusan Mydin menyatakan bahawa pasar raya tersebut menyambut gesaan kerajaan untuk melawan kempen tersebut dan beranggapan bahawa pelabelan tersebut merupakan strategi pemasaran yang teruk dan tidak bertanggungjawab.

Tindakan yang diambil oleh Mydin adalah sebagai sokongan untuk melindungi industri sawit yang merupakan salah satu sumber utama ekonomi negara dan bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar terbesar kedua selepas Indonesia.

Sementara itu, Indonesia juga telah menjalankan tanggungjawabnya dengan melarang produk tempatan atau import yang mempunyai label ‘bebas minyak kelapa sawit’ atau ‘tiada minyak kelapa sawit’ daripada dipasarkan di negara itu.

Industri sawit menerima tentangan daripada negara maju di Eropah dengan meluluskan satu akta untuk mengeluarkan minyak sawit sebagai bahan api yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2030 atas dasar pengeluaran minyak sawit yang tidak mampan dan mengakibatkan penyahhutanan hutan tropika.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan tersebut dengan mendakwa ia dilakukan atas sebab untuk melindungi ekonomi Kesatuan Eropah (EU). Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan akan bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barang tertentu dari Eropah.

Bagi membantu mempromosikan kepentingan minyak sawit kepada pengguna dan negara, kerajaan Malaysia telah melancarkan kempen promosi Love My Palm Oil (Sayangi Minyak Sawit Malaysia).