Berita Terkini

Pasaran Saham Ditutup Bercampur-Campur Ekoran Tarif Baru

Pasaran saham Amerika Syarikat ditutup bercampur-campur semalam ekoran kebimbangan para pelabur mengenai tarif import yang telah berkuatkuasa 1 September yang lalu. AS telah memulakan cukai sebanyak 15% kepada $300 bilion nilai barangan pengguna dari China yang dilihat bakal memberi impak kepada pembeli.

Indeks Dow Jones meningkat 41.08 mata kepada 26,403.28 mata manakala S&P 500 naik sekadar 1.88 mata kepada 2,926.46 mata. Namun nasib berbeza dialami oleh Nasdaq apabila jatuh 10.51 mata kepada 7,962.88 mata.

Kenaikan tarif yang baru dikuatkuasakan ini lebih kepada barangan seperti jam pintar, alatan elektronik dan pakaian. Perkara ini sekaligus memberi kesan kepada harga barang yang akan dijual oleh pembekal. Sebelum ini tarif lebih tertumpu kepada barangan komponen industri.

Situasi yang berlaku menyukarkan para peniaga untuk merancang perniagaan mereka untuk masa hadapan. Berikutan itu, ratusan peniaga dari pelbagai sektor bertindak untuk menghantar surat kepada Presiden AS Donald Trump agar menarik semula kenaikan tarif yang dikenakan dengan menyatakan ini hanya akan menaikkan harga barang serta risiko kehilangan pekerjaan.

Menurut Persatuan Pakaian dan Kasut AS, 91.6% daripada pakaian import dari China akan terkesan dengan tarif baru ini, begitu juga 68.4% daripada tekstil rumah dan 52.5% daripada kasut. Baki import dalam kategori ini akan dikenakan tarif 15% pada 15 Disember, apabila fasa kedua tarif berkuatkuasa.

Pihak AS yang masih berunding dengan China berharap pemisahan tarif ini dapat membantu menangguhkan kesan kos yang lebih tinggi sehingga selepas musim berbelanja. Setakat ini tiada apa-apa perubahan berlaku meskipun pihak AS telah melakukan perjumpaan dengan pihak China.