Berita Terkini

Pelabur Tunggu Keputusan Undian Parlimen Untuk Halang No-Deal Brexit

Pasaran pada awal minggu ini masih dilihat bergerak perlahan dengan hanya dagangan Pound Sterling antara yang menunjukkan pergerakan aktif ekoran perkembangan Brexit dan politik Britain.

Berdasarkan data domestik, pertumbuhan GDP Britain untuk Julai mencatatkan kenaikan kepada 0.3% mengatasi jangkaan kenaikan 0.1% berbanding 0.0% pada bacaan terdahulu. Data pengeluaran perindustrian yang dikeluarkan bersama turut mencatatkan angka yang meningkat.

Justeru, dagangan semasa masih berpihak kepada Pound untuk mengekalkan momentum pengukuhan sementara pemain pasaran menantikan keputusan undian Parlimen untuk halangan kepada no-deal Brexit.

Matawang dolar Amerika Syarikat masih dipantau bergerak perlahan berikutan tumpuan masih terarah pada perkembangan yang kurang meyakinkan terhadap isu rundingan perdagangan Amerika bersama China.

Selain itu, pengukuhan semasa bagi matawang greenback itu dijejaskan oleh bacaan data pekerjaan NFP pada penghujung minggu lalu yang memaparkan bacaan yang bercampur-campur.

Walaupun data purata pendapatan mencatatkan bacaan yang meningkat, namun kadar pertambahan pekerjaan di Amerika Syarikat bagi bulan Ogos merekodkan angka yang menurun. Bacaan yang membimbangkan tersebut bakal menguatkan lagi jangkaan pasaran terhadap kebarangkalian untuk Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah pada mesyuarat polisi yang seterusnya.

Namun begitu, sentimen pasaran masih lagi dilihat positif dengan dagangan safe-haven seperti Yen Jepun dan juga dagangan emas mencatatkan penurunan.

Sentimen positif pasaran juga turut dimanfaatkan matawang berpulangan tinggi dengan pengukuhan dipamerkan pada dagangan dolar Australia dan dolar New Zealand.

Aussie masih mengekalkan momentum pengukuhan sejak minggu lalu selepas kenaikan harga bermula susulan keputusan mesyuarat polisi bank pusat Australia yang terbaru dengan kenyataan yang bernada positif kembali meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Australia.