Berita Terkini

Penetapan Kadar Faedah Oleh RBA Jadi Tumpuan Pasaran Hari Ini

Dengan pasaran Amerika Syarikat dan Kanada yang bercuti semalam, krisis Brexit mengambil alih tumpuan pasaran pada dagangan awal minggu. Sesi pasaran Eropah pada Isnin diselubungi oleh spekulasi sama ada ahli Parlimen UK berupaya atau tidak untuk menghalang situasi pengunduran Brexit tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah.

Turut memberi tekanan terhadap dagangan Pound Sterling apabila Perdana Menteri UK Boris Johnson yang mengeluarkan kenyataan amaran terhadap penggubal undang-undang parti konservatif yang berhasrat menghalang Brexit tanpa perjanjian.

Beliau yang tetap bertegas untuk meneruskan pengunduran pada 31 Oktober nanti berharap sokongan daripada ahli parlimen dan tidak cuba untuk menggoyahkan posisi rundingan atau permintaan terhadap tempoh lanjutan yang disifatkan tidak membawa faedah.

Dagangan dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan minggu ini dilihat bergerak lemah ekoran terkesan oleh sentimen perang dagang antara Amerika dan China.

Walaupun Presiden AS Donald Trump telah menyatakan bahawa kedua-dua pihak sedang berbincang untuk mengadakan rundingan pada September, pasaran agak gelisah berikutan tarif terbaru 15% terhadap barangan import China telah berkuatkuasa pada hujung minggu iaitu 1 September 2019.

Pasaran minyak mentah juga turut terkesan oleh risiko perang dagang tersebut dengan harga minyak menunjukkan pergerakan yang menurun.

Turut menerima tempias adalah dagangan dolar Australia disebabkan faktor rakan dagang utama antara Australia dan China.

Dagangan Aussie bakal menjadi matawang tumpuan pada hari ini dengan data jualan runcit Australia diterbitkan pada sesi Asia pagi ini. Bacaan data untuk bulan Julai menunjukkan penurunan kepada -0.1% lebih rendah berbanding jangkaan penurunan kepada 0.2% daripada paras 0.4% pada bacaan bulan sebelumnya.

Lebih menjadi tumpuan yang utama adalah penetapan kadar faedah oleh bank pusat Australia untuk mesyuarat September dengan keputusan akan dikeluarkan pada jam 12.30 tengahari waktu Malaysia.

Reserve Bank of Australia (RBA) dijangka akan mengekalkan kadar faedah di paras terendah iaitu 1.00% seperti sebelum ini dan kenyataan susulan oleh bank pusat akan menjadi fokus pasaran bagi petunjuk untuk mesyuarat dasar monetari yang akan datang.