Berita Terkini

Pra-Tinjau NFP: Laporan Data Perkerjaan Dijangka Positif Oleh Pelabur?

Biro Statistik Buruh (BLS) bakal menerbitkan Laporan Situasi Pekerjaan di Amerika Syarikat pada jam 8.30 malam ini waktu Malaysia. Data yang menjadi tumpuan utama pasaran setiap minggu pertama awal bulan akan diteliti dengan sebaiknya bagi pelabur mendapatkan petunjuk dagangan pada minggu berikutnya.

Untuk laporan Ogos, data pekerjaan dijangka akan mencatatkan pertambahan sekitar 163,000 pekerjaan baru selepas pertambahan 164,000 pada bulan sebelumnya. Data purata pendapatan serta kadar pengangguran masing-masing dijangka kekal di paras 0.3% dan 3.7% seperti bacaan sebelum ini.

Momentum pertambahan pekerjaan dijangka akan masih dikekalkan selepas bacaan data mengalami kejatuhan ketara pada bulan Mei dan juga Februari tahun ini. Sementara kadar pengangguran pula masih berjaya dikekalkan di paras yang rendah sehingga kini.

Peningkatan kadar pendapatan mengambil masa hampir sedekad untuk kembali pulih daripada krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi. Sejak berjaya melepasi paras 3.0% pada Oktober tahun lalu, purata pendapatan tahunan terus kekal di paras yang stabil.

Dilihat secara keseluruhan, kadar peluang pekerjaan baru semakin berkurangan sejak pengukuhan pada tahun lalu, susulan penurunan pada pertumbuhan GDP di Amerika Syarikat.


Namun begitu, purata pertambahan bulanan pada tahun ini menunjukkan pekerjaan yang mencukupi dalam tenaga kerja.

Data penting ini merupakan salah satu data tumpuan oleh bank pusat Federal Reserve (Fed) dalam membuat keputusan bagi penetapan polisi monetari semasa.

Dengan bacaan laporan data pekerjaan ADP NFP yang dikeluarkan positif semalam, pelabur berkemungkinan optimis menjangkakan angka bacaan laporan NFP pada malam ini bakal meningkat. Namun kekal berwaspada untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku berikutan pada kebiasaan data ini dikeluarkan, pelabur akan dipamerkan dengan pergerakan drastik harga melibatkan pasangan matawang dolar USD.