Berita Terkini

Samsung Galaxy Fold Akhirnya Bersedia Untuk Dilancarkan

Selepas mengalami kelewatan untuk beberapa bulan, Samsung Electronics Co. yakin telefon pintar mereka sedia untuk memasuki pasaran. Telefon boleh dilipat yang diberi nama Galaxy Fold itu akan mula dijual Jumaat ini di Korea Selatan dan beberapa negara terpilih seperti Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Jerman.

Galaxy Fold sepatutnya dilancarkan pada musim bunga yang lalu, namun pelancaran itu terpaksa ditangguhkan ekoran beberapa masalah utama yang timbul seperti skrin yang mudah rosak. Julai lalu pihak Samsung berkata mereka telah meningkatkan reka bentuk serta pembinaan telefon yang dilengkapi dengan ciri tambahan bagi melindungi peranti ini dengan lebih baik.

Samsung berkata Galaxy Fold akan menampilkan paparan bersaiz 7.3 inci bersama pilihan rangkaian 5G yang hanya tersedia di negara tertentu sahaja. Dengan permulaan harga yang mencecah lebih daripada $2 ribu, nilai ini dilihat agak mahal bagi pengguna kelas pertengahan dan bawahan.

Sepanjang beberapa bulan yang lalu, Samsung telah menyempurnakan Galaxy Fold dalam memastikan ia dapat memberikan pengalaman yang terbaik. Bukan sahaja meningkatkan reka bentuk dan pembinaan Galaxy Fold, malah Samsung mengambil masa untuk memikirkan semula kepuasan pelanggannya.

Pengguna telah memberi tindak balas positif untuk sebuah telefon pintar memiliki skrin yang lebih besar, dan revolusi dari Galaxy Fold menawarkan skrin lebih besar tanpa perlu mengorbankan faktor kemudahalihan. Menurut DJ Koh, Presiden dan CEO bahagian IT Samsung, inilah yang digelar inovasi pengalaman mudah alih baru.

Bulan lalu Samsung telah melancarkan sebuah lagi telefon pintar iaitu Samsung Galaxy Note 10 yang boleh dikatakan pencabar utama kepada produk dari Apple, iPhone. Apple juga bakal melancarkan model terbaru iPhone serta produk lain yang dijangka berlaku dalam bulan ini.