Berita Terkini

Sentimen Pasaran : Matawang US Dolar Mengukuh Susulan Kritikan Trump!

Matawang US dolar mengukuh pada hari Rabu berikutan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi mengkritik the Federal Reserve kerana tidak menurunkan kadar faedah seperti yang beliau harapkan.

Trump dalam laman twitternya telah memuat naik kenyataan bahawa bank pusat seharusnya menurunkan kadar faedah kepada sifar atau kurang daripada sifar dan dalam dalam masa yang sama beliau telah mensifatkan ahli-ahli the Fed sebagai ‘keras kepala’.

Menurut beliau, kadar faedah yang negatif mampu menyelamatkan wang kerajaan Amerika Syarikat daripada hutang. Sebelum ini beberapa bank pusat di Eropah dan Jepun telah memperkenalkan kadar faedah negatif bagi menjana ekonomi mereka namun hasilnya kadar faedah yang negatif hanya menyumbang sedikit kepada pertumbuhan ekonomi mahupun meningkatkan kadar inflasi.

Indeks US dolar yang mengukur dolar greenback berbanding enam matawang utama mula didagangkan kukuh dengan peningkatan sebanyak 0.37% kepada paras 98.665 setakat jam 11.35 p.m.

Disisi lain, matawang pound sterling didagangkan rendah berbanding US dolar berikutan ketegangan antara perdana menteri UK Boris Johnson dan parlimen UK yang terus berlanjut.

Matawang CAD juga turut susut berbanding US dolar selepas Perdana Menteri Justin Trudeau menyeru untuk adakan pilihan raya pada Oktober 21.