Berita Terkini

Trump Umum Penangguhan Kenaikan Tarif

Keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menangguhkan kenaikan tarif terhadap barangan import dari China yang bernilai $250 bilion yang sepatutnya berkuatkuasa awal Oktober ini disifatkan sebagai satu tindakan murni kepada China.

Trump berkata penundaan itu datang atas permintaan Timbalan Perdana Menteri China, Liu He di mana negara itu bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada 1 Oktober ini. Ketika ini tarif baru ditetapkan kepada 30%, meningkat sebanyak 5% berbanding sebelum ini.

Pada awalnya, Trump ingin menggandakan kadar tarif ke atas barangan China bulan lalu selepas tindak balas terhadap Beijing dalam perang perdagangan sebelum menaikkan tarif kepada kadar yang lebih rendah. Beliau berasa marah selepas mengetahui China turut bercadang menaikkan tarif kepada $75 bilion barangan AS sebagai respons terhadap tarif baru dari Washington.

Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer kemudian menyenaraikan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif untuk berjumpa dengan Trump dan memberi amaran kepadanya tentang kesan buruk akibat daripada perang dagangan ini yang memberi kesan terhadap pasaran saham dan ekonomi.


Trump akhirnya menetapkan kenaikan 5% dalam kadar tarif melibatkan kira-kira $550 bilion barangan import China. Pengumuman itu dibuat pada 23 Ogos selepas pasaran menamatkan sesi dagangan. Keesokannya Trump membuat satu kenyataan di mana beliau menyesal kerana tidak menaikkan tarif kepada kadar yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, pasaran saham AS menunjukkan pergerakan positif di mana indeks utama masing-masing ditutup lebih tinggi berbanding hari sebelumnya. Indeks Dow Jones meningkat 227.61 mata kepada 27,137.04 mata, S&P 500 naik 21.54 mata kepada 3,000.93 mata manakala Nasdaq bertambah 85.52 mata kepada 8,169.68 mata.