Berita Terkini

Walmart Pilih Untuk Hentikan Sebarang Jualan Senjata

Selepas kejadian tembakan di El Paso yang meragut 22 nyawa, Walmart bertindak untuk menghentikan jualan peluru senapang yang dikatakan boleh digunakan pada jenis senapang tentera. Syarikat itu juga menggesa para pemimpin di Washington untuk mengambil tindakan bagi membendung keganasan senjata.

Walmart menegaskan mereka juga tidak akan lagi menjual sebarang peluru bagi pistol tangan. Sebelum ini Walmart telah menghentikan penjualan pistol tangan dan meminta kepada para pelanggannya untuk tidak lagi membawa senjata ke mana-mana tempat yang mempunyai undang-undang terbuka kecuali kepada pegawai penguatkuasa undang-undang.

Dalam satu surat kepada para pekerjanya, CEO Walmart Doug McMillon berkata peruncit terbesar Amerika Syarikat itu merancang untuk membuat suaranya didengari di dalam perdebatan mengenai kawalan senjata api yang semakin hangat, sambil menggesa pemeriksaan latar belakang harus dilakukan dengan lebih ketat.

Mereka juga berusaha untuk mengurangkan kadar jenayah dengan cara merampas senjata daripada mereka yang disyaki bakal menimbulkan bahaya, yang jelas terdapat di dalam undang-undang bendera merah.

McMillon berkata gergasi peruncit itu sedang memikirkan langkah-langkah yang akan diambil selepas insiden tembakan besar-besaran baru-baru ini di seluruh negara termasuk tragedi di El Paso serta serangan di kedai Walmart di Southhaven yang meragut nyawa dua pekerjanya.

Berikutan dari keputusan Walmart untuk tidak lagi menjual sebarang jenis senjata, syarikat itu menjangkakan bahagian penjualan senjatanya akan jatuh dari 20% kepada 6% hingga 9%. Dalam pada itu, saham Walmart berlaku sedikit peningkatan apabila naik $0.38 kepada $114.64.