Berita Terkini

GBP/JPY Menurun Pada Sesi Eropah, Rundingan Brexit Goyah?

Sesi Eropah pada Selasa menyaksikan penurunan pada nilai dagangan Pound Sterling setelah lonjakan harga ditunjukkan pada sesi semalam.

Data indeks harga pengguna tahunan di UK kekal seperti bacaan bulan lalu di paras 1.7% untuk bulan September, meleset berbanding jangkaan peningkatan kepada 1.8% oleh pasaran. Kadar inflasi tersebut juga kekal di paras terendah dua setengah tahun sejak Disember 2016 berikutan kos pengangkutan yang perlahan selain kejatuhan harga petrol paling teruk sejak Ogos 2016.

Selain itu juga, terdapat kegoyahan pada rundingan Brexit yang terbaru ekoran keyakinan pelabur mulai pudar. Perdana Menteri UK Boris Johnson kelihatan sukar untuk mendapatkan sokongan daripada Parti Kesatuan Eropah untuk mendapatkan kelulusan majoriti di Parlimen nanti.

Jika dilihat pergerakan harga pada carta pasangan matawang GBP/JPY, harga mulai turun semula menguji zon RBS (resistance become support) pada 137.700 selepas harga mencecah paras ketinggian pada 139.200 penghujung sesi dagangan New York semalam.

Matawang safe-haven Yen juga akan turut disokong oleh sentimen goyah pasaran selepas Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang berkenaan kes protes di Hong Kong yang tidak disenangi oleh China.

Faktor-faktor ini berpotensi mengganggu sentiment rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang sebelum ini mula menunjukkan tanda-tanda yang positif untuk perjanjian yang lebih besar pada masa hadapan.

Harga pada GBP/JPY dilihat menguji zon RBS 137.000 dan jika harga berjaya turun ke paras lebih rendah, paras support terdekat yang dijangka akan dituju harga adalah pada 135.800. Penurunan lebih rendah berkemungkinan akan mencecah paras 134.400 bergantung pada perkembangan semasa rundingan Brexit.

Namun jika harga kekal meneruskan momentum kenaikan minggu lalu, harga bakal menembusi paras resistance 139.200 sebelum mencatatkan paras ketinggian terbaru pada GBP/JPY.