Berita Terkini

Adakah Ini Peluang Untuk Pemotongan Kadar Faedah Oleh BoE Kelak?

Bank of England (BoE) telah mengekalkan dua kadar faedahnya tidak berubah pada 0.75%, dengan dua pegawai Polisi Monetari atau lebih dikenali sebagai MPC, tanpa disangka telah mengundi untuk memotong kadar faedah berikutan kebimbangan terhadap ketidakpastian Brexit dan isu perdagangan.

Gabenor BoE Mark Carney, berkata dalam ucapannya selepas penetapan polisi, ekonomi UK semakin perlahan berikutan peningkatan terhadap ketidakpastian terhadap Brexit dan pertumbuhan global yang perlahan manakala inflasi UK pula jatuh berada di bawah sasaran bank pusat pada 2%.

Bagaimanapun, BoE yakin bahawa ketidakpastian Brexit telah berkurangan disebabkan perjanjian Brexit dan penangguhan yang diberikan oleh EU. Kesan pemulihan terhadap pertumbuhan adalah bergantung kepada pengurangan dalam ketidakpastian Brexit.

Dalam unjuran terbaru, BoE telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini meningkat kepada 1.4% berbanding yang diunjurkan pada 1.3% Ogos lalu. Namun begitu, unjuran terhadap pertumbuhan dalam tempoh tiga tahun akan datang dikurangkan menjadi 1% lebih rendah daripada yang dijangka pada bulan Ogos.

Ia merupakan kali pertama dalam laporan polisi monetari oleh BoE menjadikan perjanjian Brexit sebagai pemacu utama dalam unjuran pertumbuhan ekonomi.

Dengan kenyataan Carney bahawa risiko mengenai unjuran ekonomi terbaru BoE adalah ‘cenderung kepada kelemahan’, ia telah menggambarkan bahawa perubahan seterusnya dalam polisi monetari akan membawa kepada pemotongan kadar faedah.

BoE menjangkakan ketidakpastian yang dihadapi oleh isi rumah dan perniagaan akan berkurangan serta pertumbuhan global juga kembali pulih dengan pengurangan risiko no-deal Brexit. Namun, jika ia tidak berlaku, bank perlu menurunkan kadar faedah untuk menyokong pertumbuhan Uk dan memastikan dapat mencapai sasaran inflasi pada 2%.