Berita Terkini

Adakah Ini Petanda Bank Pusat New Zealand Akan Turunkan Kadar Faedah?

Pengangguran di New Zealand mempamerkan peningkatan lebih tinggi daripada jangkaan pada suku ketiga tahun 2019 dan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan telah menambah kepada tanda-tanda kelembapan ekonomi yang akan mendorong Reserve Bank of New Zealnd (RBNZ) untuk menurunkan kadar faedah selanjutnya.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Statistik New Zealand, kadar pengangguran meningkat kepada 4.2% daripada 3.9% pada suku kedua dan jangkaan pada 4.1%.

Selain itu, perubahan pekerjaan menyusut lebih rendah kepada 0.2% daripada diunjurkan oleh pasaran pada 0.3% dengan bilangan penganggur meningkat sebanyak 6,000 kepada 115,000. Kadar penyertaan pekerja pula kekal tidak berubah pada 70.4% daripada dijangkakan pada 70.3%.

Pengambilan pekerja semakin perlahan apabila pertumbuhan ekonomi menurun kepada 2%, menggalakkan inflasi untuk kekal berada di bawah titik sasaran RBNZ pada 1-3% untuk beberapa waktu.

Berikutan daripada itu, ia telah meningkatkan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah selanjutnya oleh bank pusat New Zealand pada minggu depan. Dolar New Zealand pula menjadi matawang yang paling lemah berbanding dolar USD dengan membawa penurunan kepada paras 0.6364.

Dengan majoriti penganalisis menjangkakan pemotongan dalam kadar faedah ke paras terendah yang baru oleh RBNZ, namun masih ada yang tidak pasti memandangkan terdapat peningkatan dalam upah dan pemulihan dalam pasaran perumahan di negara itu.

Inflasi upah tahunan New Zealand yang diukur dengan indeks kos buruh, meningkat kepada 2.4% pada suku ketiga 2019 daripada 2.1 yang direkodkan pada suku kedua. Upah dalam sektor awam meningkat kepada 3.0% lebih tinggi daripada 2.2% peningkatan sebelum ini.