Berita Terkini

Amerika Syarikat Nafi Persetujuan Terhadap Pembatalan Tarif AS-China?

Persetujuan antara Amerika Syarikat dan China untuk membatalkan tarif yang sedia ada sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan fasa pertama berdepan dengan tentangan yang kuat daripada White House.

Cadangan untuk pembatalan tarif tersebut dikatakan bukan sebahagian daripada kesepakatan yang dicapai antara Presiden AS Donald Trump dan Naib Perdana Menteri Liu He pada Oktober lalu.

Sebelum ini, pegawai Kementerian Perdagangan China memberitahu bahawa pembatalan tarif tersebut telah dipersetujui bersama dan seorang pegawai AS telah mengesahkannya sejurus selepas itu.

Bagaimanapun, tiada sesiapa daripada White House yang mengesahkannya dan Wakil Perdagangan AS (USTR) juga tidak memberi kenyataan mengenai perkhabaran yang dikeluarkan oleh China.

Beberapa kenyataan yang bertentangan berhubung pembatalan tarif ini telah menimbulkan kekeliruan. Jurucakap White House Stephanie Grisham, berkata bahawa AS adalah sangat optimis terhadap penyelesaian perjanjian yang akan menamatkan pertikaian yang telah berlanjutan sekian lama.

Dalam kenyataan berasingan, Penasihat Kanan Ekonomi White House Larry Kudlow pula menyatakan bahawa jika perjanjian perdagangan fasa pertama dicapai, akan ada perjanjian tarif dan konsesi.

Bagaimanapun, menurut penasihat perdagangan White House pula yang memberitahu, tidak ada perjanjian buat masa ini untuk menghapuskan tarif sedia ada sebagai syarat dalam perjanjian fasa pertama dan hanya seorang yang boleh membuat keputusan mengenainya iaitu Donald Trump.