Berita Terkini

Dagangan EUR/USD Mendatar Selepas Penurunan 80 Pips Pada Selasa

Pengukuhan matawang dolar USD jelas ditunjukkan pada dagangan semalam dengan penurunan harga dipamerkan pada carta pasangan matawang EUR/USD.

Tinjauan pada sektor perkhidmatan Amerika Syarikat menunjukkan keyakinan perniagaan semakin meningkat pada bulan Oktober dari paras terendah tiga tahun pada September lalu.

Sementara data PMI bukan-pembuatan AS mencatatkan bacaan yang meningkat pada September, mengatasi jangkaan kenaikan oleh pasaran.

Namun momentum pengukuhan dolar USD tersebut terhalang pada hari ini berikutan timbul kebimbangan mengenai laporan terbaru berhubung perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Meneliti pergerakan harga pada carta pasangan matawang EUR/USD pada minggu ini, pergerakan awal minggu yang bermula pada zon resistance sekitar 1.11700 mula membuat penurunan melepasi garisan sokongan Moving Average 50 (MA50).

Bersambung pada dagangan semalam, setelah harga menguji zon SBR (support become resistance) pada 1.11400-1.11300, harga meneruskan penurunan 80 pips ke paras lebih rendah.

Penurunan tersebut telah mencecah ke zon support 1.10700 yang diuji harga pada dagangan penghujung Oktober lalu.

Harga bergerak mendatar di zon support tersebut sejak awal sesi pasaran Asia hari ini bermula sehingga bersambung pada dagangan sesi Eropah.

Jika harga dilihat membuat kenaikan, berkemungkinan paras tumpuan pada 1.11000 bakal dicapai untuk pembetulan harga sebelum kembali membuat penurunan semula.

Kenaikan lebih tinggi, bakal menuju pula pada zon SBR 1.11300 dan berkemungkinan harga akan menembusi garisan halangan pada MA50.

Namun jika harga gagal membuat kenaikan, penurunan harga akan diteruskan ke paras terendah terbaru. Penurunan boleh mencecah sehingga sekitar 50 pips ke paras support pada 1.10200.