Berita Terkini

GBP/USD Telah Turun 180 Pips Ke Zon Support 1.28000, Akan Turun Lebih Rendah Lagi?

Tumpuan pasaran semalam terarah pada mesyuarat dasar monetari bank pusat England untuk keputusan penetapan kadar faedah yang terbaru.

Bank of England (BOE) seperti yang dijangkakan telah mengekalkan kadar faedah di paras 0.75% selain tidak menyelaraskan kos pinjaman menjelang pilihan raya umum pada bulan hadapan.

Daripada 9 ahli jawatankuasa BOE (MPC) yang mengundi, 7 daripadanya memilih untuk kadar faedah dikekalkan termasuk Gabenor Mark Carney. Namun, 2 ahli MPC iaitu Saunders dan Haskel mengejutkan pasaran dengan undian untuk kadar faedah diturunkan kepada 25 mata asas.

Dalam ucapan terbaru Gabenor Carney, beliau turut menyentuh berkenaan risiko terhadap ekonomi global dan memberi amaran bahawa situasi no-deal Brexit akan mendorong kepada kehilangan pekerjaan dan juga kemerosotan perniagaan.

Dengan kenyataan dovish bank pusat, matawang Pound Sterling didagangkan lemah pada sesi pasaran New York semalam melihatkan penurunan jelas pada carta pasangan matawang utama terutamanya pada GBP/USD.

Dagangan GBP/USD menunjukkan kenaikan pada sesi sebelumnya, sebelum membuat penurunan sekitar 80 pips lebih rendah mencecah paras 1.28000 pada zon support.

Penurunan tersebut menjadikan 180 pips penurunan harga dari paras ketinggian yang dicapai penghujung minggu lalu.

Berbeza berbanding dagangan minggu lalu yang menunjukkan siri kenaikan harga, sepanjang minggu ini harga membuat penurunan secara konsisten bergerak di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50).

Harga bergerak mendatar sehingga penghujung sesi New York dan bersambung pada sesi pasaran Asia pagi ini. Pelabur menantikan perkembangan terbaru Brexit untuk isyarat pergerakan harga yang lebih jelas.

Jika harga berjaya mengekalkan momentum penurunan, harga akan cuba melepasi zon support dan bergerak lebih rendah dari paras 1.27800 untuk mencatatkan paras terendah terbaru harga.

Namun jika harga kembali pantul membuat kenaikan, paras halangan pada MA50 perlu ditembusi untuk harga meneruskan kenaikan ke paras lebih tinggi.