Berita Terkini

Ini Ulasan China Terhadap Perkembangan Perdagangan Yang Sedang Berlangsung!

Kementerian Perdagangan China telah mengeluarkan kenyataan pada hari Khamis bahawa Beijing telah bersetuju dengan Washington untuk membatalkan pengenaan tarif antara kedua-dua buah negara tersebut.

Gao Feng yang merupakan jurucakap untuk Kementerian Perdagangan China mengatakan bahawa kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk membatalkan tarif sedia ada ke atas barangan masing-masing.

Lanjut Gao Feng, kedua-dua pihak juga semakin hampir dalam mencapai keputusan perjanjian fasa pertama selepas beberapa rundingan yang berlangsung dalam 2 minggu ini.

Syarat yang paling penting untuk perdagangan perdagangan ialah Amerika Syarikat dan China mesti menghapuskan pengenaan tarif pada waktu yang sama. “Perang dagang bermula dengan tarif maka patut disudahi dengan pembatalan tarif.” – Gao Feng

Perjanjian interim perdagangan AS-China dijangka bahawa A.S akan membatalkan pengenaan tarif yang dijadualkan pada 15 Disember yang bernilai $156 billion barangan import China termasuk telefon pintar, komputer riba dan permainan.

Setakat ini China masih berhubung dengan AS dan mengharapkan kedua-dua pihak dapat menangani masalah masing-masing dengan sewajarnya. Berdasarkan laporan oleh Reuters, perjumpaan President Trump dan Xi Jinping berkemungkinan akan ditangguhkan sehingga bulan Disember.

Walaubagaimanapun, kenyataan tersebut telah membantu meredakan kekhuatiran terhadap ketidakpastian dalam isu perdagangan.

Susulan daripada laporan ini, Indeks Dow Jones telah melonjak lebih 200 mata pada hari ini dan Indeks US dolar juga mengukuh berbanding enam matawang utama lain.